Sebenarnya hadis ini tidak mengandungi pegangan atau dalil putus bagi menegah daripada memohon syafaat atau bertawassul. Sesiapa yang memahami dari sudut zahir hadis ini bahawa kita ditegah daripada meminta dan bertawassul kepada selain Allah secara mutlak, maka sesungguhnya dia telah tersilap jalan.
Ini kerana mereka yang menjadikan para nabi dan orang soleh sebagai wasilah mereka kepada Allah untuk mendapatkan kebaikan daripada-Nya atau menolak kemudaratan. Mereka tidaklah meminta melainkan kepada Allah yang Esa agar memudahkan apa yang diminta atau menjauhkannya daripada apa yang dikehendakinya dalam keadaan bertawassul kepada-Nya melalui orang yang diizinkan bertawassul dengan mereka.
Dalam hal ini, dia hanya mengambil sebab musabab yang ditentukan Allah bagi seseorang hamba mencapai hajatnya daripada Allah. Orang yang mengambil atau menggunakan sebab yang sememangnya diperintahkan oleh Allah untuk diikuti bagi mencapai keinginannya, bukanlah meminta kepada sebab tersebut tetapi meminta kepada Pencipta sebab tersebut (Allah).
Maka seseorang yang berkata: “Wahai Rasulullah! Aku mahu tuan mengembalikan mataku semula, atau menghapuskan bala bencana daripadaku, atau menyembuhkan penyakitku,” bermaksud meminta perkara-perkara tersebut daripada Allah dengan perantaraan syafaat Rasul-Nya.
Orang tersebut seolah-olah berkata: “Doakanlah untukku supaya terhasil hajat ini, syafaatkanlah untukku dalam perkara ini”.
Kedua-dua bentuk ayat di atas tidak ada bezanya, cuma ayat yang kedua lebih jelas maksudnya daripada ayat yang pertama. Sebagai contoh bagi kedua jenis permohonan tersebut ataupun yang lebih jelas ialah perkataan orang yang bertawassul: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan nabi-Mu supaya memudahkan manfaat ini, atau menolak kejahatan ini”.
Maka orang yang bertawassul dengan semua jenis tawassul tersebut tidaklah meminta ditunaikan hajat mereka kecuali kepada Allah SWT.
Dengan ini, kita dapat fahami bahawa menegakkan hujah melarang bertawassul dengan sabda nabi SAW: “Apabila kamu meminta, pintalah kepada Allah,” adalah suatu kesilapan yang besar. Ia membatas hadis ini kepada makna zahir yang rosak atau tidak betul, iaitu tidak sah seseorang itu meminta kepada selain Allah dalam apa keadaan sekalipun.
Justeru, sesiapa yang memahami hadis ini dengan makna tersebut, maka dia telah benar-benar tersalah. Sebagai menjelaskan kesalahan tersebut, cukuplah dengan berdalilkan hadis ini juga yang merupakan jawapan kepada soalan Ibnu Abbas r.a perawi hadis selepas Rasulullah SAW merangsangnya supaya bertanya: “Wahai anak muda! Mahukah aku ajarkan kamu beberapa kalimah yang akan membuatkan Allah memberikan manfaat kepada kamu dengannya”.
Apakah tarikan untuk bertanya yang lebih indah daripada ini? Ibnu Abbas r.a menjawab: “Ya”. Maka Rasulullah SAW menjawab dengan hadis ini.
Jika kita mengikut sangkaan yang salah ini, maka tidak boleh orang yang jahil bertanya kepada orang alim, tidak boleh orang yang ditimpa kemusnahan meminta tolong kepada orang yang dapat menyelamatkannya daripada kesusahannya.
Orang yang berhutang tidak boleh meminta orang yang dapat melunaskan hutangnya melangsaikan hutangnya dan orang yang memerlukan pinjaman meminta pinjaman. Bahkan juga, tidak boleh manusia meminta syafaat kepada para nabi pada hari kiamat.
Begitu juga, tidak boleh Nabi Isa a.s menyuruh mereka meminta syafaat kepada Penghulu para Rasul, Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya dalil yang mereka sangkakan bersifat umum akan membawa kepada penafian apa yang kami sebutkan di atas dan hal-hal seumpamanya.
Maka sekiranya mereka berkata: Sesungguhnya yang dilarang adalah memohon kepada para Nabi a.s dan orang soleh daripada ahli kubur yang berada di alam barzakh kerana mereka tidak mempunyai kuasa.
Sangkaan atau pemahaman keliru seperti ini juga telah dijawab secara panjang lebar dalam perbahasan yang lepas. Secara ringkasnya kami katakan: “Sesungguhnya mereka itu hidup, dapat mendengar dan berkuasa untuk memberi syafaat dan mendoakan.
Kehidupan mereka yang berupa kehidupan barzakhiyyah itu sesuai dengan kedudukan mereka; yang dengannya mereka boleh dimanfaatkan untuk berdoa dan memohon keampunan.
No comments:
Post a Comment